SFC bongkar sindiket timbus balak haram

Kayu-kayu balak haram yang ditimbus oleh pembalak haram bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

BINTULU, Jan 24: Sarawak Forestry Corporation (SFC) berjaya membongkar kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan Sungai Anau, Tatau dekat sini semalam.

Dalam serbuan itu, sepasukan anggota penguatkuasa SFC berjaya menemui 200 batang kayu balak pelbagai saiz dan spesies yang ditimbus dengan menggunakan tanah di kawasan sekitar hutan tersebut.

Jurucakap Bahagian Komunikasi Korporat SFC berkata, siasatan awal mendapati kesemua kayu balak itu ditebang secara haram memandangkan kawasan hutan di bukit berkenaan tidak dilesenkan sebagai lokasi pembalakan.


Menurutnya, siasatan juga mendapati kesemua kayu balak itu dipercayai baharu ditebang dan ditimbus atau ditanam di pusat pengumpulan kayu di situ sebelum ia dipunggah dengan menggunakan lori balak.

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang cop pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa iaitu pada bahagian pangkal dan hujung kayu balak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, nilai rampasan kesemua kayu balak itu masih belum dapat dipastikan sehingga siasatan selesai dilaksanakan.

Katanya, satu laporan polis berhubung kejadian sudah dibuat sebelum diserahkan kepada Jabatan Hutan Sarawak untuk tindakan lanjut.

“Kes tersebut disiasat di bawah Ordinan Hutan 2015,” katanya. — DayakDaily