Oleh Chris Bishop
KOTA SAMARAHAN, 25 Sept: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg cadang Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak (PPNS) menyewa kapal terbang kargo untuk memasarkan hasil makanan ke Singapura.
Katanya, Singapura adalah negara entrepot yang memasarkan semula barangan yang dibeli ke pasaran luar.
“Kita mahu PPNS menjadi koordinasi kepada pemasaran produk atau hasil makanan Sarawak.
“Jangan beli kapal terbang, sewa dahulu untuk tempoh empat bulan untuk satu penerbangan kargo sehari dan kita lihat jumlahnya.
“Saya beri peruntukan RM10 juta kepada peladang setiap tahun; kalau sewa kapal terbang kargo tidak juga banyak,” katanya ketika ditemui di majlis Perasmian Bangunan Baharu PPNS di Kota Samarahan hari ini.
Tambah Abang Johari, jika kaedah tersebut berjaya, penerbangan kargo boleh diadakan dua kali sehari.
Selain Singapura, ujarnya, hasil makanan juga boleh dihantar ke Pontianak, Balik Papan dan Brunei.
“Apa yang perlu ialah kita mesti ada bekalan hasil makanan berterusan,” kata Abang Johari.
Terdahulu dalam ucapannya, Abang Johari berkata kapal terbang kargo akan membolehkan bekalan ikan di empangan seperti di Bakun dan Batang Ai dipasarkan ke luar negara.
Ia juga termasuk buah-buahan dan sayur-sayuran yang akan memberi manfaat kepada pekebun-pekebun di Sarawak. — DayakDaily