Setakat Januari sebanyak 6 inisiatif telah diambil KKR – Nanta

Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

KUCHING, 25 Jan: Kementerian Kerja Raya (KKR) setakat minggu ketiga bulan Januari ini telah melaksanakan enam inisiatif.

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, ia merupakan usaha bagi menangani beberapa isu yang dibangkit masyarakat seluruh Malaysia.

“Antaranya, pengurangan had laju di jalan persekutuan seluruh negara daripada 90 km/j kepada 80 km/j bermula 18 hingga 27 Januari, sekaligus melancarkan Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya.


” Dalam masa sama, kesemua pengguna lebuh raya juga turut menikmati pemberian tol percuma selama dua hari iaitu pada 20 dan 21 Januari sempena perayaan Tahun Baru Cina,” kata Nanta menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Selain itu, beliau turut mengadakan perjumpaan antara wakil Touch ‘N Go Projek Lebuhraya Utara Selatan Berhad (PLUS) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bagi menyelesaikan isu kesesakan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

Nanta seterusnya memutuskan untuk menambah sebanyak 12 lorong RFID selewat-lewatnya pertengahan April nanti.

Dalam masa sama, sebanyak RM232 juta telah diperuntuk bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih kerosakan infrastruktur di Semenanjung Malaysia disebabkan banjir baru-baru ini.

Justeru, Nanta menyatakan bahawa usaha berkenaan tidak akan terhenti dan pihaknya akan sentiasa bekerjasama bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga. — DayakDaily