Setakat ini, tiada keperluan menggunakan pengawasan dron di Miri

Dzulkafli (hujung kiri) bersama anggota polis memeriksa permit perjalanan di lokasi SJR di Lambir.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 3 Feb: Belum ada keperluan setakat ini untuk menggunakan dron bagi mengawasi dan memantau pergerakan orang awam semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Miri, jelas Panglima Satu Divisyen Mejar General Datuk Dzulkafli Mustaffa.

“Miri masih patuh dan mengikut prosedur operasi ‘standard’ (SOP) dan ramai yang memberi sokongan kepada pasukan barisan hadapan kita,” ujarnya ketika ditemui hari ini selepas membuat lawatan ringkas di dua lokasi sekatan jalan raya (SJR) di Miri.


Secara ringkas, beliau berkata setakat ini belum ada keperluan untuk pihaknya menggunakan dron dalam tugasan pengawasan SJR seperti yang dilakukan di daerah Sibu.

“Di Sibu, kita menggunakan dron bagi membantu tugasan pengawasan dan membuat pengumuman kepada orang awam agar sentiasa berada di rumah dan tidak keluar sekiranya tiada keperluan,” jelasnya.

Tambah beliau, di Miri, sebanyak 100 anggota tentera dihantar ke empat lokasi SJR bagi membantu pihak polis sepanjang tempoh PKPB.

Empat lokasi SJR di Miri terdiri daripada dihadapan Sekolah Menengah Agama Miri, Jalan Lambir (Jalan Miri-Bintulu), Sungai Tujoh dan Suai.

Sebanyak 50 anggota askar wataniah juha turut dikerah untuk membantu dalam SJR.

Dalam lawatan ringkas itu, Dzulkafli ditemani pegawai memerintah Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu DiRaja (20RAMD) Kem Sri Miri, Lt Kol Rozaid Datuk Badrulzaman, Mejar Azllan Zainul Abidin penolong Pegawai Memerintah 20 RAMD, Mejar Mohd Shahrizal Abd Aziz Pegawai Gerak 20 RAMD dan Kapten Mohd Nazmi Samuri, Ketua Kompeni C 20 RAMD. — DayakDaily