Mejar Jeneral Hassan Embong Panglima 1 Div yang baharu

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Lt Jen Datuk Mardzuki Muhammad menyaksikan acara menandatangani nota serah terima tugas di antara Dzulkafli (kiri) kepada Hassan (kanan).

KOTA SAMARAHAN, 5 Sept: Mejar Jeneral Hassan Embong kini dilantik sebagai Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia (1 Divisyen) baharu menggantikan Mejar Jeneral Dato’ Dzulkafli Mustaffa.

Majlis serah terima tugas Panglima 1 Divisyen diadakan di Padang Kawad Kem Muara Tuang dengan disaksikan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat (PMT TD), Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.

Perbarisan pada hari ini terdiri daripada 27 pegawai dan 461 anggota Lain-Lain Pangkat (LLP) diketuai oleh Pegawai Memerintah Batalion Ke-10 Rejimen Sempadan, Lt Kol Shafiron Saad.

Mejar Jeneral Hassan Embong dilahirkan pada 29 Oktober 1965 di Mersing, Johor dan beliau memulakan karier dengan menyertai latihan sebagai Pegawai Kadet pada tahun 1985, seterusnya ditauliahkan sebagai Leftenan Muda pada 4 Oktober 1986.

Batalion Ke-27 Rejimen Askar Melayu Diraja (27 RAMD) merupakan unit pertama perkhidmatan beliau.

Di sepanjang hampir 37 tahun usia perkhidmatan, beliau menyandang pelbagai jawatan penting dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selain banyak menghadiri kursus-kursus strategik di dalam dan luar Negara.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama Hasliza Abddul Wahab dan dikurniakan tiga orang cahaya mata perempuan serta seorang lelaki.

Beliau seterusnya telah dinaikkan ke pangkat Mejar Jeneral pada 30 Ogos 2022 dan pada hari ini, tanggal 5 September 2022, beliau telah menjawat jawatan sebagai Panglima 1 Divisyen ke-29 yang mana sebelum ini beliau merupakan Ketua Pengarah Operasi dan Latihan, Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, Kem Muara Tuang.

Sementara itu Dzulkafli merupakan Panglima 1 Divisyen ke-28 bermula 19 Jun 2020 yang lalu akan menjalani latihan peralihan sebelum bersara wajib pada Februari 2023.

Turut hadir dalam acara yang penuh bersejarah ini adalah Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Mohd Kamil Abdul Latif, Panglima 9 Briged, Brigedier Jeneral Shauri Mat Piah, dan Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Abdul jalal Zaidi Abdul Majid. — DayakDaily