Seramai 58 penerima dirai di Anugerah Khas Premier Sarawak Ke-30

Abang Johari (tiga dari kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima. Turut kelihatan Mersal (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Sept: Anugerah Khas Premier Sarawak (APKS) Ke-30 meraikan seramai 58 penerima yang telah mencapai kecemerlangan bagi tahun 2019, 2020 dan 2021.

Pengarah Yayasan Sarawak Mersal Abang Rosli berkata, ia melibatkan 20 orang penerima bagi tahun 2019, manakala 26 orang penerima bagi tahun 2020 dan 12 orang penerima bagi tahun 2021.


“Ia bertujuan untuk memberikan pengiktirafan kepada pelajar Sarawak yang telah mencapai keputusan yang paling cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Selain turut memberikan pengiktirafan kepada guru-guru cemerlang serta juga memberikan pengiktirafan kepada sekolah-sekolah dan Persatuan Ibu Bapa Guru (atau PIBG) yang telah menunjukkan pencapaian prestasi yang cemerlang,” katanya dalam ucapan aluan.

Anugerah telah disampaikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Tambah Mersal, penyampaian pada tahun ini merupakan pengiktirafan kepada penerima-penerima di atas pencapaian cemerlang mereka bagi tahun 2021.

Katanya, memandangkan majlis tidak dapat dilakukan pada tahun 2019 dan 2020, maka AKPR Ke-30 pada tahun ini akan turut merangkumi penerima-penerima bagi pencapaian cemerlang bagi tahun 2019 dan 2020.

AKPS Ke-30 memperkenalkan satu lagi kategori anugerah baru iaitu Anugerah Pengajaran Terbaik Guru Atas Talian untuk kedua-dua peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah.

“Sejajar dengan keadaan semasa yang kita hadapi sejak tahun 2020 di mana sesi persekolahan telah dilaksanakan secara maya atau online, maka pada majlis kali ini kita juga akan memperkenalkan satu lagi kategori anugerah baru iaitu Anugerah Pengajaran Terbaik Guru Atas Talian.

“Anugerah ini adalah sebagai menghargai usaha serta initiatif guru-guru kita dalam proses pengajaran dan pembelajaran sepanjang pandemic Covid-19 bagi memastikan proses persekolahan tetap berjalan dengan lancar,” katanya.

Yayasan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM138,000 khas untuk insentif berupa wang tunai dimana sebelum ini anugerah dikenali sebagai Anugerah Khas Ketua Menteri. — DayakDaily