KUCHING, Mei 5: Kebajikan pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tasik Biru turut diberikan perhatian oleh Yayasan Sarawak, yang menghulurkan bantuan pakaian seragam kepada mereka hari ini.
Ini membabitkan seramai 507 pelajar dari 25 buah sekolah, yang masing-masing menerima baucar pakaian seragam sekolah bernilai RM200.
Penyerahan bantuan itu disempurnakan oleh ADUN Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep di Pentas Utama, Dataran Bau di sini.
Justeru, beliau menyeru para pelajar yang menerima bantuan tersebut supaya menggunakannya dengan baik untuk membeli pakaian seragam serta keperluan sekolah yang lain.
“Para pelajar yang menerima bantuan ini harus menghargainya kerana ini adalah usaha kerajaan untuk menggalakkan supaya anak-anak kita lebih selesa dan bersemangat untuk belajar.
“Maka, gunakanlah baucar ini sepenuhnya untuk membeli pakaian seragam, buku serta bahan pembelajaran yang lain,” katanya.
Henry menambah bantuan tersebut amat bermakna kerana selain memberi motivasi kepada pelajar untuk bersekolah, ia juga bertujuan meringankan beban kewangan ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk menyediakan peralatan sekolah kepada anak mereka. — DayakDaily