KM: Kerajaan negeri guna duit sendiri untuk menaik taraf Jalan Padawan lama


SERIAN, Mei 5: Kerajaan negeri akan mengeluarkan peruntukan untuk menaik taraf Jalan Padawan lama, selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ia memandangkan jalan tersebut sehingga kini terabai disebabkan oleh kerajaan persekutuan tidak memberikan peruntukan.

Justeru, beliau berjanji akan memberikan peruntukan jika masih tiada peruntutan diperolehi daripada kerajaan persekutuan selepas PRU14.


“Kuala Lumpur tidak ada memberi duit dan kalau selepas pilihan raya mereka masih tidak memberi duit, saya sendiri akan memberi duit untuk menaik taraf Jalan Padawan lama ini kerana ini adalah jalan yang bersejarah, di samping kita mahu ia memanfaatkan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Manggeng, Kampung Masaan di Siburan, malam tadi.

Dalam pada itu, Abang Johari turut menyeru masyarakat Bidayuh di sini untuk terus bersama kerajaan kerana banyak pembangunan yang sudah dirancang untuk dilaksanakan di kawasan ini.

Katanya, Serian mempunyai potensi untuk menjadi hub pengeluaran makanan dan apabila ini dilaksanakan, ia secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi masyarakat di sini.

“Daripada kaedah konvensional, kita akan menggunakan digital untuk membangunkan pertanian di sini,” katanya.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pembangunan Tanah Luar Bandar Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil dan calon Barisan Nasional (BN) di Puncak Borneo, Genot@Jeannoth Sinel. — DayakDaily