Pembangunan yang dibawa BN tidak terkira — Rohani

Rohani (tiga dari kanan) menyediakan makanan untuk masyarakat setempat.
Advertisement

SEBUYAU, Mei 5: Jambatan Batang Lupar akan menjadi pemangkin kepada pembangunan yang berterusan di Parlimen Batang Lupar.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim berkata, jambatan itu juga menjadi salah satu perkara utama yang digariskan dalam Manifesto BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Jambatan Batang Lupar bukan sahaja akan menjadi nadi ekonomi kepada rakyat setempat malahan akan merancakkan lagi pembangunan kawasan pesisir,” kata di sini hari ini.

Advertisement

Rohani menambah, pembangunan yang telah dibawa kerajaan BN terutamanya kepada penduduk Sarawak di luar bandar juga tidak terkira.

Katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah beberapa kali turun ke Batang Lupar dan membawa banyak transformasi kepada penduduk setempat di sini.

“Antaranya 12 sekolah berkonsepkan IBS yang terbanyak di Malaysia iaitu di Parlimen Batang Lupar, pembinaan dewan masyarakat, klinik, masjid, jambatan Tandang Sari dan Batang Lupar yang keduanya dizahirkan secara spontan dan pelbagai lagi,” katanya.

Bercakap sewaktu merasmikan majlis tersebut, beliau turut berterima kasih kepada wanita yang turut menjadi penggerak kepada pembangunan negara.

Jelasnya, cara kerajaan berterima kasih kepada golongan wanita adalah dengan meletakkan wanita ditempat selayaknya dalam agenda utama negara.

“Perkara ini dibuktikan melalui Manifesto BN yang menggariskan kepentingan peranan wanita iaitu utamakan ibu dan wanita dengan meletakkan golongan ini di tempat yang begitu tinggi dalam masyarakat,” katanya. – DayakDaily

Advertisement