Seramai 239,671 murid di Sarawak bagi sesi persekolahan 2019

Murid tahun satu yang mendaftar masuk sekolah.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 3: Seramai 239,671 orang murid telah bersekolah di 1,265 buah sekolah rendah seluruh negeri bagi sesi persekolahan 2019 yang bermula semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, dalam satu kenyataan media, memberitahu enrolmen keseluruhan itu merangkumi 38,832 murid yang telah didaftar untuk kemasukan ke tahun satu.


Bagi pelajar sekolah menengah pula, seramai 187,579 orang pelajar akan meneruskan persekolahan pada sesi tahun ini dari peringkat kelas peralihan hingga tingkatan lima yang ditempatkan di 193 buah sekolah menengah seluruh negeri.

Seorang guru menyapa seorang murid tahun satu.

“Jumlah ini termasuk seramai 42,689 orang murid tahun enam yang akan meneruskan persekolahan di peringkat menengah.

“Antara lain, Sarawak mempunyai 72 buah sekolah pusat tingkatan enam di sekolah menengah harian (MOD 2 dan MOD 3) dan sebuah pusat tingkatan enam MOD 1 (Kolej Tingkatan Enam Saratok) yang menawarkan aliran Sains dan aliran Sains Sosial.

“Di samping itu, terdapat enam buah sekolah menengah agama menawarkan kelas aliran agama (MOD 2 dan MOD3),” katanya.

Keseluruhannya, terdapat sebanyak 1,497 buah kelas prasekolah telah diwujudkan di 1,514 buah institusi pendidikan di Sarawak.

Ujar beliau, kelas-kelas prasekolah tersebut merangkumi 1,317 buah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) termasuk empat buah di rumah panjang, 163 buah kelas di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK), dua buah kelas di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), empat buah kelas di Institusi Pendidikan Guru (IPG), tujuh buah kelas di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan empat buah kelas di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK).

“Keseluruhan jumlah kanak-kanak yang telah dilulus bagi memulakan alam persekolahan di prasekolah ialah 22,602 orang iaitu tidak termasuk pendaftaran lewat,” katanya. — DayakDaily