Seorang wanita warga China nekad cuba bunuh diri

Wanita warga China berjaya diselamatkan selepas cuba membunuh diri dengan berlari ke arah laut di Pantai Lutong.
Advertisement

MIRI,3 Mac: Gara-gara dilarang suaminya bertemu anak tunggal mereka, seorang wanita dipercayai warga negara China nekad cuba membunuh diri ke dalam laut berdekatan Pantai Lutong di sini pada pagi Rabu (3 Mac).

Namun, niatnya itu digagalkan beberapa orang awam dan perniaga gerai makanan dan minuman di Pantai tersebut yang terlihat kelakuan aneh wanita yang berusia dalam lingkungan awal 20-an itu sebaik sahaja keluar dari sebuah kenderaan e-hailing sekitar jam 10 pagi.

“Pada mulanya kami menyangka dia hendak mengambil foto selfie di sini, sebab itu sudah menjadi kebiasaan pengunjung yang datang,  tapi lama kelamaan, kami mula curiga selepas melihat wanita itu berlari sambil memegang sebilah pisau ke arah laut,” ujar salah seorang perniaga yang menjual udang ‘Bubok’ di Pantai Lutong.

Advertisement

Beliau berkata, wanita tersebut telah dua kali cuba berlari masuk ke arah laut, sebelum berjaya dibawa orang awam ke pantai.

Menurut sumber, wanita tersebut telah tiba di kawasan Pantai Lutong menggunakan kenderaan e-hailing dari pusat bandar.

Pantai Lutong terletak kira-kira 7.6km dari Pusat Bandar Miri.

Sebuah kenderaan peronda polis turut tiba ke lokasi sebaik sahaja dimaklumkan orang awam mengenai kejadian.

Di lokasi, kelihatan orang awam telah cuba menenangkan wanita tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri ACP Hakemal Hawari ketika dihubungi berkata, setakat ini, pihaknya belum lagi menerima laporan kejadian.

Bagi mereka yang mengalami kemurungan atau tekanan kehidupan disarankan menghubungi  The Befrienders di laman sesawang http://www.befrienders.org.my/centre-in-malaysia untuk bantuan khidmat kaunseling atau sokongan emosi.-DayakDaily.

Advertisement