Wanita warga China antara dua pejalan kaki dirempuh kenderaan pacuan empat roda di Miri

Anggota Bomba dan Penyelamat Miri turut berada di lokasi dan sedang berusaha mengeluarkan mangsa wanita yang terperosok di bawah kenderaan 4WD tersebut.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 1 Ogos: Seorang wanita warga China dilaporkan selamat selepas dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) awal pagi tadi di Jalan Cosmos 2A di sini.

Wanita tersebut yang mana identitinya belum dikenal pasti dikatakan sedang berjalan kaki bersama seorang rakan lelakinya sebelum tiba-tiba dirempuh kenderaan 4WD itu sekitar jam 6.55 pagi.


Akibat rempuhan itu, mangsa telah terjatuh dan terperosok di bawah kenderaan tersebut manakala rakannya yang sempat mengelak mengalami kecederaan pada kaki.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati punca kemalangan adalah daripada pemandu tersebut yang gagal mengawal kenderaan lalu merempuh mangsa.

“Sebelum kejadian, pemandu kenderaan 4WD tersebut datang dari arah Jalan Cosmos hendak ke Pelita commercial centre namun terbabas ke kanan jalan melanggar pejalan kaki iaitu kedua-dua mangsa,” ujarnya.

Difahamkan pemandu kenderaan terus melarikan diri selepas kejadian.

Menurut Alexson, pihak polis kini sedang mengesan pemandu kenderaan tersebut untuk siasatan lanjut.— DayakDaily