Seorang wanita melecur dalam kebakaran di Tanjung Batu, Miri

Kebakaran rumah dua tingkat di Tanjung Batu, Miri.

MIRI, 26 April: Seorang wanita melecur di kaki dalam usahanya menyelamatkan diri dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis dua tingkat di Tanjung Batu, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata mangsa bersama tujuh lagi individu iaitu dua lelaki dan lima wanita berada di dalam rumah tersebut semasa kebakaran berlaku sekitar jam 1.38 petang.

Jelasnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dikerahkan ke lokasi kejadian untuk tugas-tugas menyelamat dan memadam kebakaran.


“Komander melaporkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal telah terbakar 80 peratus dan penghuni rumah adalah seramai dua lelaki dan enam wanita.

“Menurutnya, seorang wanita telah melecur di kaki dan diberi rawatan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, kebakaran berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh pihak bomba.

“Bagaimanapun, sebuah rumah bersebelahan juga terjejas akibat kebakaran dan anggaran kerosakan adalah sekitar 20 peratus,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan Bomba. — DayakDaily