JKM Miri agih bantuan makanan kepada Rumah Freddy Randi dan Alias Bon

Bantuan makanan daripada JKM Miri dihantar ke Rumah Freddy Randi

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 26 April: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Bahagian Miri baru-baru ini telah mengagihkan bekalan makanan kepada penduduk di Rumah Freddy Randi di Daerah Beluru.

Menurut laporan UKAS, Rumah Freddy yang terletak di Batu 18, Bukit Song di Bakong telah dikenakan Perintah Sekatan Pergerakan Diperketat (PKPD) mulai 21 April hingga 5 Mei susulan ada di kalangan penduduk mempunyai kontak rapat dengan kes positif Covid-19.

Sejumlah 36 bantuan makanan untuk tempoh 14 hari itu yang terdiri daripada makanan asas, lima pek susu dan lampin pakai buang telah diagihkan kepada penduduk.


Dalam pada itu, JKM Bahagian Miri juga telah mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di Rumah Alias Bon di Niah.

Ini berikutan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri untuk melanjutkan PKPD di rumah panjang tersebut sehingga 5 Mei ini, setelah terdahulu berkuatkuasa mulai 8 hingga 21 April lepas.

Sebanyak 174 pek makanan, 16 lampin pakai buang dan 14 paket susu diagihkan kepada penduduk bagi keperluan selama 14 hari.

Rumah Alias Bon di Sungai Manong Niah telah dikenakan PKPD ekoran terdapatnya kontak rapat kes positif Covid-19 yang dikesan di rumah panjang itu.

Sementara itu, petugas barisan hadapan yang terdiri daripada pihak polis dan Rela telah membuat sekatan dan rondaan secara berkala bagi memastikan tiada penduduk yang keluar masuk tanpa kebenaran. — DayakDaily