Seorang wanita berdepan 15 pertuduhan kes tipu pakej pelancongan luar negara

Polis membawa suspek (tengah) di Mahkamah Majistret Sarikei.

Oleh Dean Adam

SARIKEI, Dis 12: Seorang wanita berdepan dengan 15 pertuduhan berhubung kes penipuan pakej pelancongan luar negara yang melibatkan kerugian sebanyak RM448,200.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kes melibatkan wanita berusia 37 tahun itu dilaporkan berlaku antara Mac 2017 hingga Jun 2018.


Jelasnya, sebelum ini pada Disember 6 lalu, tertuduh telah ditangkap di Kota Kinabalu, Sabah hasil risikan dan kerjasama dengan JSJK Sabah dan JSJK Sarawak.

“Pertuduhan terhadap tertuduh telah dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah Sarikei, Prouline Aging di sini hari ini.

“Tertuduh akan direman dinpenjara sehingga tarikh sebutan dibacakan semula pada Disember 21 depan di hadapan Majistret Sarikei,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustafa menambah, siasatan sebelum ini mendapati modus operandi suspek ialah dengan menawarkan pakej pelancongan ke luar negara kepada mangsa-mangsa terlibat.

Katanya, setelah persetujuan di antara mangsa-mangsa dengan tertuduh, mereka dikehendaki membuat pembayaran secara tunai ke akaun Cimb Bank dan Public Bank tertuduh.

“Mangsa-mangsa mula menyedari tertipu selepas mendapati pakej pelancongan tersebut adalah tidak wujud sebelum mereka membuat laporan polis.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan,” katanya lagi. — DayakDaily