Seorang terperangkap dalam kemalangan di Jalan Song

Pihak Bomba mengeluarkan mangsa terperangkap di dalam kereta.

KUCHING, 8 Feb: Seorang wanita dilaporkan terperangkap di dalam kereta selepas terlibat kemalangan di Jalan Song, di sini awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan kemalangan tersebut pada jam 1.15 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi maklum kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Mazda 2 dan Toyota Hilux.

“Kemalangan mengakibatkan kereta Mazda 2 masuk ke dalam parit dan terdapat seorang mangsa wanita terperangkap di dalam kenderaan tersebut.

“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulan KKM untuk dibawa ke hospital. — DayakDaily