SIBU, 29 Mac: Seorang disahkan rentung dalam insiden kebakaran melibatkan lima buah rumah di Jalan Tiong Hua, di sini hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) berkata, mayat tersebut yang dipercayai seorang lelaki ditemui di salah sebuah rumah yang terbakar ketika operasi ‘overhaul’ dilakukan.
“Kebakaran melibatkan lima buah rumah jenis tidak kekal dimana empat daripadanya telah musnah terbakar sepenuhnya.
“Dilaporkan terdapat seorang mangsa yang rentung dipercayai lelaki ditemui di dalam rumah pertama yang terbakar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Bagaimanapun, sehingga laporan ini diterima, identiti mangsa masih belum dikenalpasti.
Difahamkan mayat mangsa yang rentung kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Jelasnya juga, laporan berhubung kejadian diterima pada jam 1.55 pagi dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu terus lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran.
“Keluasan keseluruhan kawasan yang terbakar ialah 2,230 meter persegi,” katanya.
Kerja-kerja memadam kebakaran selesai sepenuhnya pada jam 7.50 pagi.
Punca kebabaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily