Lelaki parah, tercampak keluar dari dalam kereta di Taman Tunku

Mangsa menerima rawatan kecemasan di lokasi kejadian.

MIRI, 29 Mac: Seorang lelaki dilaporkan tercampak dari dalam kenderaannya selepas terlibat dalam kemalangan kendiri di Jalan Taman Tunku, di sini sekitar pukul 11.15 malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) berkata mangsa berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya.

“Kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda, melibatkan seorang mangsa tercampak keluar dari kenderaan.


“Pasukan Bomba membantu mengangkat mangsa dan kemudian diserahkan kepada pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 11.53 malam.

Manakala mangsa sehingga berita ini ditulis dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Miri. — DayakDaily