Seorang pemuda direman dua hari bantu siasatan kes dadah

Dadah yang dirampas daripada suspek.

Oleh Dean Adam

PADAWAN, Julai 12: Seorang pemuda direman dua hari bermula hari ini, selepas ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah menerusi serbuan di Kampung Selang Laut, Jalan Matang.

Suspek berusia 25 tahun tersebut direman sehingga esok bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.


Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Aidil Bolhassan, berkata suspek ditahan pada pukul 4.30 petang pada Rabu lepas (10 Julai).

Katanya, hasil pemeriksaan ke atas suspek tersebut telah berjaya menemui dadah jenis syabu seberat 15.03 gram.

“Anggaran dadah yang dirampas itu ialah sebanyak RM2,254. Hasil ujian saringan awal mendapati saspek didapati positif dadah jenis tetrahydoconnabinol,” katanya di sini, hari ini.

Aidil menambah, suspek juga didapati mempunyai rekod kesalahan lampau terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah. — DayakDaily