BINTULU, 9 Nov: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah di kaki dan terpaksa dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dalam kemalangan membabitkan tiga buah lori, hari ini.
Kemalangan tersebut dilaporkan berlaku di Jalan Pesisir, Bintulu-Miri pada jam 11.06 pagi.
Jurucakap Bomba berkata sebaik sahaja laporan diterima, anggota dari Balai Bomba Bintulu terus ke lokasi kejadian untuk kerja-kerja menyelamat.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan tiga buah lori, lori pasir, lori tanker serta lori trailer kargo dan terdapat seorang lelaki cedera parah yang mengalami kepatahan di bahagian kaki.
“Bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang mengalami kecederaan parah di kaki,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, mangsa diberikan rawatan awal oleh anggota perubatan kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seterusnya dihantar ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Dua lagi pemandu lori dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 11.55 pagi. — DayakDaily