Seorang maut, tiga cedera dalam kemalangan di Bukit Bangunan

Keadaan di lokasi kemalangan.

SRI AMAN, 26 Nov: Seorang maut, manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan kendiri membabitkan sebuah kereta di Munggu Tapang Bukit Bangunan, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 5.15 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sampai lokasi, komander operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah Perodua Alza yang terbabas akibat hilang kawalan.

“Terdapat empat mangsa dan kesemua mereka berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi.

“Pemandu kereta dilaporkan mengalami cedera ringan, manakala anaknya yang berusia 9 tahun tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM, manakala ibu mangsa dan seorang lagi kanak-kanak selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pasukan bomba hanya memantau dan mendapatkan maklumat di lokasi kejadian.

Setelah keadaan terkawal dan selamat, pasukan bomba berangkat balik ke balai.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 6.32 petang. — DayakDaily