Warga emas melecur, rumah dua tingkat terbakar di Siol Kandis

Fire and Rescue Department Malaysia/ Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia logo

KUCHING, 26 Nov: Seorang lelaki warga emas melecur di dada dan tangan dalam kebakaran sebuah rumah di Siol Kandis, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 9.12 pagi.

Katanya, beberapa anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Komander operasi yang tiba melaporkan rumah dua tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 40 kali 60 kaki persegi dianggarkan terbakar 100 peratus.

“Terdapat seorang mangsa iaitu lelaki warga emas melecur di dada dan tangan kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, terdapat seorang lagi mangsa iaitu wanita berusia 20an dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk tindakan selanjutnya.

Jelasnya juga, bahagian atas rumah yang terbakar dijadikan tempat kediaman dan di bahagian bawah dijadikan kedai runcit.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 9.44 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily