SELANGAU, 13 Mac: Seorang lelaki maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah lori berdekatan SK Sungai Sepiring, Jalan Pan Borneo hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.22 pagi.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah lori iaitu lori yang membawa muatan baja dan sebuah lagi membawa muatan serbuk simen.
“Pemandu kedua-dua lori dilaporkan mengalami kecederaan, manakala kalindan lori baja dilaporkan tercampak keluar dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak KKM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kesemua mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. Mangsa yang meninggal dunia berusia 38 tahun.
Setelah memastikan keadaan selamat dan terkawal, pasukan bomba kemudian berangkat balik ke balai. — DayakDaily