Seorang maut, empat cedera parah dalam nahas di Saratok

Anggota bomba melakukan flushing di lokasi kemalangan selepas kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sarikei.

SARATOK, 14 Mei: Seorang wanita meninggal dunia manakala empat lagi mangsa cedera parah dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Besar Pusa, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 1.09 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Setibanya pasukan bomba di lokasi, Komander Operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan jenis Toyota Avanza dan juga Toyota Camry bertembung dari arah bertentangan menyebabkan kereta jenis Avanza terbalik ke arah parit berdekatan.

“Kesemua mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam seterusnya dihantar ke Klinik Kesihatan Pusa dengan menggunakan kenderaan awam.

“Menurut pihak polis, terdapat tiga mangsa dari kenderaan Toyota Camry dan seorang daripada mangsa (wanita) meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Pusa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambahnya, dua lagi mangsa dipercayai suami dan anak kepada wanita yang meninggal dunia dilaporkan mengalami cedera parah dan patah kaki.

“Sementara itu, dua lagi mangsa yang berada di dalam kenderaan Avanza mengalami kecederaan patah kaki dan juga tangan,” katanya.

Kesemua mangsa yang cedera difahamkan dirujuk ke Hospital Sarikei untuk rawatan lanjut.

“Pasukan bomba kemudian membuat kerja-kerja flushing di lokasi kemalangan bagi memastikan keadaan kembali selamat,” katanya. ā€” DayakDaily