BINTANGOR, 31 Dis: Seorang maut manakala empat lagi selamat dalam kemalangan di jalan Batu 10, Jalan KJD, Maradong-Julau dekat sini semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 4.34 petang dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor diarahkan ke lokasi kejadian.
“Bila pasukan bomba di lokasi, didapati berlaku kemalangan kendiri yang hilang kawalan dipercayai akibat tayar pecah.
“Jumlah kesemua mangsa adalah lima orang di mana empat berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan Bomba dan seorang lagi mangsa iaitu pemandu masih tersepit.
“Mangsa kemudian dikeluarkan oleh pihak Bomba dan telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Mangsa iaitu Tony Ulloi, 37 tahun kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.
Operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.25 petang. — DayakDaily