This Content Is Only For Subscribers
SELANGAU, 6 Jun: Seorang maut, manakala dua lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Stapang Selangau-Sibu hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 6.57 pagi.
Katanya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan membabitkan lori tanker dengan sebuah Proton Saga.
“Terdapat seorang mangsa tersepit di tempat duduk belakang Proton Saga dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dari Klinik Sekuau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemandu dan seorang lagi penumpang Proton Saga telah dihantar ke Klinik Sekuau menggunakan ambulans KKM sebelum ketibaan pihak Bomba.
“Pihak Bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk belakang kereta Proton Saga menggunakan peralatan menyelamat,” katanya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya manakala pemandu lori dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. — DayakDaily