KAPIT, 17 Feb : Seorang penunggag motosikal disahkan maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderan di Jalan Selirik, disini hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakkan Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, dalam kejadian sekitar jam 11.23 pagi itu motosikal yang ditunggangi mangsa bersama rakannya bertembung dengan dua lagi kenderaan dari arah bertentangan.
Katanya, akibat kemalangan itu, seorang mangsa lelaki disahkan maut di tempat kejadian oleh anggota paramedik yang berada di lokasi kejadian manakala seorang lagi mengalami kecederaan parah.
“Ketika anggota bomba tiba di lokasi kejadian, terdapat dua orang mangsa lelaki terbaring di atas jalan raya.
“Seorang daripada mangsa berada separuh sedar telah diberi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kapit untuk rawatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyatan hari ini.
Tambah jurucakap, pemandu dan penumpang dua buah kenderaan lagi iatu jenis pacuan empat roda Toyota Hilux serta Perodua Bezza tidak mengalami sebarang kecederaan.
Beliau berkata, identiti kedua-dua mangsa yang masing-masing cedera dan maut belum dapat dikenalpasti memandangkan tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada kedua-dua mangsa terbabit.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakkan lanjut dan punca kemalangan terbabit masih dalam siasatan,” katanya. — DayakDaily