SELANGAU, 8 Nov: Seorang lelaki meninggal dunia dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Batu 35 Jalan Tamin, Selangau, pada Isnin (7 Nov).
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.43 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah Toyota Hilux dan sebuah Proton Wira telah bertembung dari arah hadapan serta mengakibatkan pemandu Proton Wira tersepit di dalam kenderaan.
“Anggota Bomba menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) di lokasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.
Sementara itu, pemandu Toyota Hilux dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. — DayakDaily