Seorang maut dalam kemalangan di Mukah

Keadaan kereta mangsa yang remuk.

MUKAH, 7 April: Seorang maut, manakala seorang lagi parah dalam kemalangan di Jalan Orang Kaya-Setia Raja, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 2.14 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mukah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kemalangan kendiri melibatkan sebuah kereta Proton Wira yang telah melanggar sebatang pokok di tepi jalan.

“Kemalangan melibatkan dua mangsa tersepit dan seorang daripada mangsa berjaya dikeluarkan oleh awam dan terus dikejarkan ke hospital.

“Manakala seorang lagi mangsa berjaya dikeluarkan pihak bomba dan mangsa telah disahkan meninggal oleh pihak KKM di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis dan dibawa ke rumah mayat Hospital Mukah untuk tindakan selanjutnya.

Anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) turut hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Siasatan lanjut kes dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.— DayakDaily