LUNDU, 12 April: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia, manakala seorang lagi masih hilang dikhuatiri lemas di air terjun Kampung Sebat Sematan, di sini hari ini.
Difahamkan terdapat empat orang mangsa (lelaki) berusia sekitar 30an sedang mandi apabila dikatakan tiba-tiba berlaku fenomena kepala air.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak memberitahu dua orang mangsa berjaya selamatkan diri manakala dua lagi dihanyutkan arus deras.
“Dua mangsa hanyut sebelum seorang daripadanya berjaya dikeluarkan oleh orang kampung namun disahkan meninggal dunia oleh KKM di lokasi kejadian.
“Seorang lagi mangsa dilaporkan masih hilang dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih dijalankan,” katanya.
Pihak Bomba masih berada di lokasi kejadian selepas laporan diterima pada jam 4.55 petang. — DayakDaily