Seorang lelaki parah, diserang menggunakan senjata tajam

DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KOTA SAMARAHAN, 27 Okt: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah akibat dibelasah sekumpulan lelaki di sebuah bistro, di sini pada Sabtu (23 Okt) lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata mangsa cedera dipercayai terkena senjata tajam dan telah dihantar oleh rakannya ke Hospital Kuching untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, laporan polis telah dibuat pada hari kejadian dan bertindak kepada laporan tersebut, seramai sembilan suspek ditangkap untuk siasatan lanjut.


“Seramai sembilan suspek ditangkap termasuk tangkapan ke atas suspek utama yang merupakan warga tempatan berusia 20 hingga 29 tahun.

“Suspek-suspek ini ditangkap di sekitar kawasan Batu 7, Padawan dan punca kejadian masih dalam siasatan polis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan segaja mendatangkan cedera parah dengan senjata.

“Jika disabitkan kesalahan membawa hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya. — DayakDaily