BINTANGOR, 9 Nov: Seorang lelaki nyaris lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika berenang menyeberangi jalan yang dinaiki air di Kampung Nanga Strass, di sini hari ini.
Mangsa berusia 25 tahun semasa kejadian dikatakan bersama bapanya dalam perjalanan ke tempat kerja iaitu sekitar jam 6.45 pagi.
Dalam kejadian tersebut, mereka telah dihanyutkan sehingga ke sungai, namun bapa mangsa berjaya berenang ke tebing sungai dan mangsa yang hanyut berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada pokok.
Bapa mangsa selepas berjaya menyelamatkan diri kemudian terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) untuk bantuan.
Beberapa anggota dari Balai Bomba Bintangor hadir di lokasi kejadian dan mendapati mangsa masih berpaut pada sebatang pokok dan arus akibat banjir masih deras.
Anggota bomba kemudian bertindak menyelamat mangsa dan membawanya ke tempat selamat.
Operasi menyelamat tamat kira-kita 30 minit kemudian dan pihak Bomba menasihatkan penduduk agar sentiasa berhati-hati pada musim banjir ini. — DayakDaily