Seorang lelaki maut, seorang lagi parah selepas motosikal dinaiki bertembung dengan lori

Kelihatan kemalangan melibatkan sebuah lori dan motosikal.
Advertisement

Oleh Dean Adam

KOTA SAMARAHAN, Jun 27: Seorang lelaki menemui ajal selepas motosikal yang dinaiki bertembung dengan sebuah lori di KM31, Jalan Kota Samarahan-Sadong Jaya di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, mangsa, Mohamad Zairul Sharifudin, 22, disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Klinik Asajaya.

Advertisement

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, sebelum kejadian mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang lelaki dikatakan dalam perjalanan dari arah Asajaya ke Sadong Jaya.

Bagaimanapun katanya, apabila tiba di lokasi kejadian motosikal yang ditunggang oleh mangsa dikatakan tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Impak pertembungan itu mengakibatkan mangsa terperosok di bawah lori, manakala seorang lagi lelaki tercampak di tepi jalan.

“Pemandu lori yang berusia 53 tahun pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, seorang lagi lelaki yang cedera parah kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily

Advertisement