Seorang lelaki maut, rakannya parah dalam kemalangan

Keadaan motosikal mangsa selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Lampu Isyarat Pedada, Sibu.

SIBU, Ogos 8: Seorang lelaki maut, manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah Toyota Avanza di Jalan Lampu Isyarat Pedada di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 malam itu, mangsa, Pattrus Gama Baki, 20, dari Rumah Panjang Meru, Sungai Engkabang, Ulu Entaih, Pakan, Julau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, SUPT Alexson Naga Chabu berkata, manakala rakannya, Morision Limbie, 17, dari rumah panjang sama pula cedera parah.


Katanya, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa yang menaiki sebuah motosikal dikatakan datang dari arah Jalan Pedada menuju ke bandar Sibu di sini.

“Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi kejadian, motosikal yang dinaiki mereka telah melanggar Toyota Avanza dari arah Jalan Wong King Huo menuju ke Jalan Oya Sibu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Alexson memberitahu, menurut saksi di tempat kejadian, mangsa telah melanggar lampu isyarat lalu merempuh kenderaan yang dipandu oleh seorang wanita berusia 21 tahun.

Katanya, akibat daripada kemalangan itu, mangsa telah mati di tempat kejadian, manakala rakannya yang mengalami cedera parah telah dihantar ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

“Mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan selanjutnya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. — DayakDaily