Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Miri

Keadaan kereta mangsa yang terbalik di bahu jalan.

MIRI, 28 Feb: Seorang lelaki disahkan meninggal dunia dalam kemalangan di Jalan Miri Bypass berhampiran stesen minyak Pujut, hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan pada jam 2.50 petang.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng terus dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi maklum kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis sedan telah terbalik di bahu jalan.

“Mangsa tidak sedarkan diri telah tersepit di bawah bumbung kenderaan yang terbalik dan pasukan bomba bertindak mengeluarkan mangsa dari bawah kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak KKM dan telah disahkan meninggal dunia.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa dikenali sebagai Kadom Tembam berusia 38 tahun.

Pasukan Bomba kemudian bertolak balik ke balai.

Operasi ditamatkan pada jam 3.55 petang. — DayakDaily