Seorang lelaki maut dalam kemalangan di Bintulu

Lokasi kemalangan.

BINTULU, 3 Mei: Seorang lelaki meninggal dunia akibat dipercayai dilanggar sebuah kereta di Jalan Sungai Plan Tanjung Kidurong, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak SUPT Bingkok John berkata mangsa berusia 23 tahun semasa kejadian dikatakan sedang melintas jalan sekitar jam 5.15 pagi.

Katanya, sebelum kejadian mangsa tiba di lokasi kejadian dengan memandu sebuah kereta menghala ke pusat bandar.


“Mangsa dikatakan memberhentikan keretanya dan keluar melintas jalan sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain yang kemudian terus beredar dari lokasi kejadian.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas diperiksa oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke rumah mayat Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian, boleh menyalurkannya dengan menghubungi Balai Polis Trafik IPD Bintulu di talian 086-338575.

Saksi kejadian juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Lydia Allan di talian 010-9007791. — DayakDaily