Lelaki tidak pulang sejak Sabtu, ditemui mati dihempap rumah runtuh di Serian

Anggota SAR berusaha mengalihkan mangsa dari runtuhan tersebut.

SERIAN, 3 Mei: Seorang lelaki ditemui mati akibat dihempap sebuah rumah yang runtuh semasa melakukan kerja-kerja pembersihan di kawasan kuarters lama JKR Serian.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata pihaknya menerima laporan kehilangan mangsa daripada isterinya pada Isnin, sekitar jam 5.15 petang.

Katanya, anggotanya bersama penduduk Kampung Taee kemudian terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dan ditangguhkan disebabkan keadaan gelap.

“Operasi SAR kemudian disambung hari ini dan sekitar jam 10 pagi tadi, pasukan SAR telah menjumpai mangsa dibawah struktur bangunan roboh.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa telah dihempap struktur bangunan yang runtuh sewaktu membuat kerja pembersihan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan rumah tersebut yang telah usang dan tidak didiami runtuh akibat dihempap sebatang pokok yang tumbang.

Mangsa kali terakhir dilihat adalah pada 30 April iaitu sekitar jam 7 pagi ketika baharu keluar untuk bekerja dari rumah.

Usaha mengeluarkan mayat mangsa turut disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) dan turut dibantu pekerja sebuah syarikat swasta menggunakan dua buah jentera berat.

“Mangsa dipercayai meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan seluruh anggota badannya.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat,” katanya.

Kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut. — DayakDaily