Seorang lelaki hilang rumah sekelip mata akibat kebakaran

Keadaan api sedang marak membakar sebuah rumah.
Advertisement

KUCHING, Sept 25: Seorang lelaki kehilangan tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediamannya di Batu 2, Jalan Samariang di sini musnah terbakar malam ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, Wan Umar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 8.21 malam.

Advertisement

Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kediaman tersebut.

“Api marak dengan cepat disebabkan struktur rumah berkenaan diperbuat daripada bahan yang mudah terbakar,” katanya ketika dihubungi malam ini.

Wan Umar menambah, pihaknya turut mendapat bantuan dari pasukan dari BBP Padungan.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada pukul 8.54 malam.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement