ABIM Sarawak sokong usaha DBKU kuatkuasakan Zon Bebas Asap Rokok

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak logo

KUCHING, Sept 25: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Sarawak menyokong penuh usaha Dewan Bandar Kuching Utara
(DBKU) yang akan menguatkuasakan Zon Bebas Asap Rokok di semua premis makanan di bawah seliaan DBKU mulai Januari 2019.

Naib Yang Dipertua 1, ABIM Sarawak, Mohamad Rahmat Jamali berkata, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan kesejahteraan rakyat di Sarawak, ABIM berpandangan sudah tiba waktunya kerajaan dan pihak berwajib bertindak tegas dalam menangani permasalahan asap rokok di tempat awam lebih-lebih lagi di premis makanan, restoran dan kedai makan.

Katanya, ABIM Sarawak mewakili khalayak awam di negeri ini menyatakan sokongan penuh NGO tersebut terhadap tindakan penguatkuasaan itu.


“ABIM Sarawak berpandangan perokok yang tergamak merokok di tempat awam telah meragut hak orang ramai untuk mendapatkan udara segar di samping berpotensi menjejaskan kesihatan orang lain akibat terhidu hembusan asap rokok yang berbahaya.

“Kami juga berpendapat, merokok di tempat awam bukan sekadar suatu gangguan terhadap kesihatan khalayak, malah juga menjadi petanda kurangnya adab dalam kalangan masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohamad Rahmat menambah, rokok merupakan ancaman terbesar dan faktor risiko utama menyebabkan penyakit tidak berjangkit yang menyumbang lebih daripada setengah juta kematian di rantau Asia Tenggara setiap tahun.

Katanya, di samping itu, merujuk kepada usaha murni pihak DBKU dalam konteks penguatkuasaan Zon Bebas Asap Rokok di premis makanan dalam kawasannya, ABIM Sarawak juga menyokong penuh cadangan kompaun serta merta terhadap perokok yang melanggar peraturan itu.

“Sebenarnya, orang yang mempunyai hemah dan kewarasan tidak akan tergamak merokok di depan khalayak.

“Justeru tindakan tegas seperti kompaun serta merta diharap dapat mendidik mereka menjadi warganegara yang lebih ‘waras’ dan bertimbang rasa,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu, di peringkat ABIM Sarawak sendiri memang menjadikan kesemua premis dan institusi di bawah seliaan ABIM termasuk institusi pendidikan TASKI ABIM bebas asap rokok sepenuhnya.

Malah katanya, anak-anak pelajar TASKI dan para belia ABIM sentiasa diberikan kesedaran akan bahaya rokok termasuk rokok elektronik dan vape.

“Demi membentuk masyarakat yang sihat dan beradab, besarlah harapan kami untuk melihat negeri yang dicintai ini sepenuhnya bebas asap rokok menjelang tahun 2045 sebagaimana yang disasarkan oleh negara,” ujarnya.

Setakat ini di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok termasuk pusat hiburan, teater, dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa dingin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan. — DayakDaily