Seorang ditangkap disyaki lakukan khianat bendera dan poster calon PRU15 di Kuching

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Nov 14: Seorang lelaki ditangkap selepas disyaki terlibat merosakkan bendera dan poster calon P193 Santubong Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Kampung Boyan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata suspek ditangkap susulan laporan polis yang dibuat sekitar jam 2.30 pagi semalam.

Katanya, suspek berusia 37 tahun itu ditangkap okeh Pasukan Op Cantas IPD Kuching di kawasan Petra Jaya.


“Polis menerima laporan petugas pilihanraya berkaitan bendera dan poster calon P193 Santubong di sepanjang jalan Kampung Boyan telah dirosakkan oleh dua orang lelaki.

“Bertindak atas maklumat, seorang daripada suspek berjaya ditangkap dan hasil semakan rekod juga mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau berkaitan kes dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, polis kini sedang mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.

Kertas siasatan dibuka dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dihukum penjara selama tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Semua pihak diingatkan supaya tidak melakukan perbuatan yang menyalahi di bawah Akta Pilihan Raya 1958, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya)1981 bagi memastikan PRU15 berjalan lancar dalam suasana harmoni,” kata Ahsmon. — DayakDaily