DAP Bintulu guna modal mengelirukan, kata Pemuda PDP

Yiak Chiong Wei

KUCHING, 14 Nov: Ketua Pemuda Parti Progresif Demokratik (PDP) Tanjong Batu, Yiak Chiong Wei menggesa pihak pembangkang berkempen secara berhemah.

Menurut beliau, calon Parti Tindakan Demokratik (DAP) bagi kerusi P217 Bintulu Tony Chiew Chan Yew berkempen menggunakan modal yang mengelirukan dan memfitnah pihak lawan.

“Bukankah sebelum ini beliau (Tony) mengkritik hebat Presiden PDP (Dato Sri Tiong King Sing) kerana gagal mengawal banjir?


“Kenapa sekarang dia tidak boleh memperkenalkan kaedah penyelesaian isu tersebut dalam manifestonya?

“Jelas, kritikannya selama ini tidak ikhlas, hanya untuk menjatuhkan dan bukan untuk bersama-sama berkongsi kaedah penyelesaian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Yiak, calon DAP tersebut berterusan menyentuh isu banjir di Bintulu tetapi langsung tidak menyentuh aspek pelan kawalan banjir di dalam manifestonya.

Justeru beliau menganggap serangan terhadap Tiong sebelum ini samada benar-benar gurauan atau satu pembohongan. — DayakDaily