Seorang cedera dalam kemalangan babitkan 3 kenderaan di Tanjung Manis

Keadaan sebuah daripada Hilux yang terlibat kemalangan.

SIBU, 8 Julai: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas kenderaan pacuan empat roda (4wd) yang dipandunya terlibat kemalangan di Jalan Tanjong Manis, di sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kemalangan dilaporkan berlaku pada jam 8.40 pagi.

Katanya, kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu dua 4WD jenis Toyota Hilux dan sebuah lori sawit.


“Sampai di lokasi kemalangan, didapati kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan dan seorang pemandu Toyota Hilux tersepit namun telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam.

“Mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Manakala pemandu lori dan sebuah lagi Hilux dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis yang hadir di lokasi kejadian membuat pemantauan di kawasan kemalangan.

“Setelah keadaan terkawal dan selamat, pasukan bomba berangkat balik ke balai,” katanya.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 pagi. — DayakDaily