KOTA SAMARAHAN, 2 April: Seniman memainkan peranan penting di dalam mencorak nilai serta budaya kehidupan masyarakat kita, kata Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof.
Dengan perubahan zaman serta cabaran katanya yang juga MP Petra Jaya, kini ia lebih tertumpu kepada dunia digital.
“Mungkin keadaan sudah berubah, malahan cerita-cerita pendek melalui tik tok dan youtube mendapat sambutan begitu besar sama ada nyanyian atau lakonan.
“Apatah lagi banyak perkara yang menyentuh masyarakat kita begitu popular sekali dengan mudah melalui pelbagai pendekatan,” kata Fadillah.
Beliau berkata demikian pada ucapan di Program SW@JAPEN ft Hari Seniman Negara 2022 di Desa Ilmu di sini, hari ini.
Fadillah dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) kerana telah menyediakan dana khusus kepada penggiat seni mulai 1 April ini.
Justeru katanya, diharap ramai para artis atau penggiat seni mengambil peluang melalui dana tersebut.
“Dana ini adalah untuk membantu mengembangkan bakat dan hasil kreatif mereka.
“Saya pasti di Sarawak ini kita tiada kurang artis yang boleh mengangkatkan nama negeri ini,” katanya.
Pada majlis itu, Fadillah turut menyampaikan bantuan Keluarga Malaysia FINAS Prihatin.
Hadir sama MP Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang serta Pengarah Jabatan Penerangan Sarawak Swady Guliling. — DayakDaily