Senator gesa perkhidmatan bas berhenti-henti diperluas ke Kuching, Lundu dan Serian

Tangkap layar Ahmad berucap ketika persidangan Dewan Negara pada 30 Mac 2023. Foto: Siaran langsung Parlimen Malaysia di YouTube.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 2 April: Senator Dato Ahmad Ibrahim menggesa kerajaan pusat untuk memperluaskan pelaksanaan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) ke kawasan di Kuching.

Dalam ucapan perbahasannya di Persidangan Dewan Negara pada Khamis lepas, Ahmad berharap ia boleh diperluaskan sehingga ke kawasan Serian dan Lundu.


“Pelaksanaan harus mengguna pakai kaedah yang sama di Kuala Lumpur.

“Walaupun kita mengetahui keadaan tidak sama antara Kuching dan Kuala Lumpur, sekurang-kurangnya kaedah BRT (Bus Rapid Transportation) dapat dirasai penduduk tempatan,” kata Ahmad.

Dalam perbahasan itu, beliau juga bertanya jika Kerajaan berhasrat untuk menaikkan peratus pelarasan pencen dari dua peratus kepada tiga atau empat peratus.

Katanya, kadar pencen yang diterima oleh pesara tidaklah besar.

“Lebih-lebih lagi dengan keadaan harga barang di pasaran semakin hari semakin naik.

“Kita tidak mahu pesara terbeban dengan keadaan ekonomi sekarang. Perlu ada perubahan selaras dengan keadaan semasa,” ujar Ahmad. – DayaDaily