Semua penjaja di pasar, pusat MPP perlu menjalani pemeriksaan suhu badan

Penjaja di pasar awam milik MPP menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum berniaga.

KUCHING, 19 Julai: Semua penjaja di pasar awam dan pusat penjaja milik Majlis Perbandaran Padawan (MPP) perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memulakan perniagaan setiap pagi.

Menurut pengerusi MPP, Lo Khere Chiang, penjaja yang mempunyai bacaan suhu badan mematuhi prosedur operasi ‘standard’ (SOP) sahaja akan mendapat lampu hijau untuk berniaga.

“Pemeriksaan suhu badan ke atas para penjaja telah menjadi satu rutin di pasar awam dan pusat penjaja milik MPP setiap pagi,” dedah beliau melalui satu kenyataan di laman media sosial hari ini.


Lo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang menambah, MPP telah mengamalkan pemeriksaan itu setiap hari sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang lepas.

Pemeriksaan itu diteruskan ketika Perintah Kawalan Pergerakkan Bersyarat (PKPB) dan masih lagi diteruskan sehingga Perintah Kawalan Pergerakkan Pemulihan (PKPP) ketika ini bagi mencegah Covid-19. — DayakDaily