Covid-19: 1 kematian dengan 15 kes baharu dan 3 kluster baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 19 Julai: Malaysia kembali mencatatkan kes kematian pesakit Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan meningkat kepada 123 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-123 merupakan seorang lelaki berumur 72 tahun yang merupakan penghuni di pusat jagaan warga emas dan menghidap penyakit darah tinggi kronik dan penyakit strok.


“Beliau mengalami gejala demam dan batuk pada 10 Julai dan meninggal dunia pada 17 Julai di Hospital Enche Hajjah Khalsom, Johor.

“Kementerian Kesihatan mengucapkan takziah kepada ahli keluarga beliau,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat tujuh kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,553 kes.

Ia bersamaan 97.43 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 19 Julai 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat 15 kes baharu yang telah dilaporkan; ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,779 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 103 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, 11 kes baharu yang dilaporkan adalah merupakan kes penularan tempatan manakala empat adalah kes import.

Kes penularan tempatan itu melibatkan lapan warganegara dan tiga bukan warganegara.

“Sehingga kini terdapat dua kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Menerusi kenyataan itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat tiga kluster baharu iaitu kluster jeti Kuching, kluster rumah kongsi Sepang dan kluster restoran Kuala Lumpur. — DayakDaily