Semua mangsa Kapal Dayang Topaz dalam perjalanan ke Pelabuhan Miri

Petugas kesihatan bersedia melakukan pencegahan jangkitan Covid-19 terhadap kesemua mangsa sebaik sahaja tiba nanti.

KUCHING, 27 Okt: Maritime Rescue Coordination Center (MRCC) Putrajaya mengesahkan bahawa semua mangsa MV Dayang Topaz iaitu seramai 187 kru termasuk satu mayat kini dalam perjalanan masuk ke Jeti Pelabuhan Miri yang dijangka akan tiba pada jam 1.30 tengah hari ini.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, MRCC Putrajaya juga mengesahkan dua mangsa mengalami kecederaan.

“Kedua-dua mangsa telah dipindahkan dari Platform Naga 2 untuk dibawa ke Pangkalan Udara Miri oleh helikopter milik PETRONAS bagi rawatan lanjut di Hospital Miri,” katanya menerusi satu kenyataan.


Tambah Mohd Zubil, mangsa yang terlibat merangkumi 185 kru warganegara Malaysia dan 2 kru warganegara Indonesia iaitu Kapten Kapal dan Ketua Pegawai.

Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 21 hingga 63 tahun.

Menurut kenyataan itu, MV Dayang Topaz yang disewa oleh pihak Petronas Carigali dilaporkan mengalami kerosakan ketika kejadian juga akan diiring masuk ke Pelabuhan Miri.

Dalam pada itu kata Mohd Zubil, MRCC Putrajaya juga telah menyelaraskan keperluan pencegahan jangkitan Covid-19 yang akan diseliakan oleh Pejabat Zon Maritim Miri.

Manakala ujian saringan akan dilaksanakan oleh Petugas Kesihatan Miri.-DayakDaily