Selongkar barang ibu, wang bernilai RM1,200 lesap, seorang lelaki ditahan polis

Suspek (dua dari kanan) ditahan polis.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Mei: Perbuatan seorang pemuda yang sanggup menyelongkar bilik ibunya mencari wang mengundang padah apabila dia ditahan polis tengah hari tadi.

Wang bernilai RM1,200 dilaporkan telah hilang dalam kejadian.


Menurut Ketua Polis Daerah Miri ACP Alexson Naga Chabu, suspek berusia 34 tahun itu telah ditahan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri sekitar jam 1 petang tadi.

“Tangkapan dilakukan susulan pihak polis dimaklumkan kejadian,” ujarnya.

Difahamkan, kejadian berlaku sekitar jam 7 pagi hari yang sama di sebuah rumah di Kampung Muhibbah Kuala Baram.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan. — DayakDaily