Mohon bantuan Yayasan Sarawak sekiranya dapat tawaran IPT, gesa timbalan menteri

Kelihatan Penguang (tiga dari kiri) pada majlis Gawai Dayak Peringkat Daerah Beluru Tahun 2022. Foto: Ukas

KUCHING, 16 Mei: Pelajar Sarawak yang berjaya melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi (IPT) boleh memohon bantuan secara ‘one-off’ daripada Yayasan Sarawak.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Yayasan Sarawak yang merupakan agensi di bawah kerajaan ditubuhkan untuk membantu pelajar-pelajar Sarawak sama ada di peringkat rendah, menengah dan IPT.

“Pelajar yang berjaya menyambung pelajaran ke IPT digesa memohon bantuan secara dalam talian kepada Yayasan Sarawak.


“Yayasan Sarawak ada menyediakan bantuan geran secara ‘one-off’ bagi membantu pelajar dan menyediakan bantuan pinjaman serta biasiswa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Gawai Dayak Peringkat Daerah Beluru Tahun 2022 ‘Sepenemu Segulai Sejalai’ di Dewan Masyarakat Beluru, Bakong pada Sabtu, menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).

Di majlis itu, Penguang yang juga Adun Marudi mengucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi di kawasan DUN Marudi atas sokongan berterusan kepadanya dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) yang lepas.

Majlis telah dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya persembahan kebudayaan, nyanyian artis jemputan, Pekit Ai Tuak, tiket bertuah, jualan barangan, makanan dan minuman. — DayakDaily