Kerana bunyi bising, seorang lelaki menyeret jirannya keluar pagar di Vista Perdana

Suspek (tengah) ditahan polis pagi tadi.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 15 Mei: Gara-gara bunyi bising dari rumah jirannya, seorang lelaki bertindak menyeret mangsa sehingga keluar pagar rumahnya dalam kejadian awal pagi Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 2 pagi tadi sebuah rumah di Vista Perdana Permyjaya.


Difahamkan, suspek berusia 36 tahun itu telah datang ke rumah mangsa sambil menjerit-jerit selepas dipercayai berasa tidak puas hati dengan bunyi bising anak-anak mangsa.

“Suspek telah bertindak memanjat pagar sebelum menolak dan menyeret mangsa keluar dari pagar rumahnya,” ujar Alexson.

Susulan kejadian, satu laporan polis telah dibuat oleh mangsa.

Bertindak daripada laporan yang diterima, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri telah memnerkas suspek di kediamannya di Vista Perdana sekitar jam 11.40 pagi Ahad untuk siasatan lanjut.

Suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan 447 Kanun Keseksaan. ā€” DayakDaily